Monday, August 6, 2012

Simpanan Habis Lebur - Arkib Akhbar

free banners

MELAKA: Niat dua pelajar sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di negeri ini untuk mencari pendapatan lebih dengan melaburkan simpanan mereka menerusi skim tuisyen dalam talian lebur apabila mendakwa tertipu dengan tawaran terbabit.

Loh Yee Huan dan Haw Chin Whay masing-masing berusia 20 tahun mendakwa kerugian RM2,488 setiap seorang apabila dijanjikan menjual kad prabayar yang mengandungi kata laluan dan nama pengguna (ID) bagi menggunakan portal tuisyen terbabit.

Sebaliknya, beberapa hari selepas itu, mereka mendakwa perlu mencari orang bawahan (downline) bagi melabur untuk skim terbabit dan bukan menjual produk itu.

Menurut Loh, mereka dipelawa bekas rakan sekolah menyertai seminar mengenai peluang perniagaan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, di sini, pada penghujung April lalu.

Katanya, dalam seminar itu penceramah memberi penerangan bagaimana menambah pendapatan dengan menjual perkhidmatan tuisyen dalam talian bagi kegunaan pelajar sekolah menengah.

“Keesokan harinya kami dibawa bertemu seorang pengurus kumpulan skim terbabit dan dia menawarkan dua pilihan sama ada mencari pelabur bagi membentuk ‘downline’ atau menjual produk.

“Disebabkan masih belajar, mustahil kami mampu mencari pelabur lalu kami bersetuju menyertai dengan memilih menjual produk dan membayar RM2,488 sebelum diberikan lima kit mengandungi kata laluan dan ID untuk dijual kepada pengguna,” katanya yang ditemui selepas mendapatkan khidmat nasihat daripada Penasihat Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Chua Kim Tee, di sini, semalam.

Loh yang juga pelajar jurusan diploma sistem informasi perniagaan berkata, kit itu boleh dijual dengan harga RM790 sekeping kepada sesiapa saja.

Bagaimanapun, dakwanya beberapa hari selepas itu dia dipanggil menyertai satu mesyuarat dan dalam pertemuan itu pengurus kumpulannya memberitahu mereka perlu menyenaraikan nama rakan untuk diajak melabur bagi skim terbabit.

“Kami hairan mengapa kami dikehendaki mencari pelabur sedangkan pada awalnya kami perlu menjual produk mereka.

“Kerana tidak bersetuju dan tidak mahu rakan lain tertipu, saya dan Haw enggan meneruskan jualan produk itu,” katanya.

Dakwanya, mereka diberi tempoh bertenang 10 hari oleh syarikat terbabit dan jika tidak berminat, semua yuran yang dibayar akan dipulangkan.

“Tetapi, apabila kami menghubungi pengurus kumpulan terbabit dia memberi alasan sibuk dengan mesyuarat sehingga melepasi 10 hari.

“Apabila ditanya kepada orang bawahannya mereka memberitahu tempoh bertenang sudah tamat dan mereka tidak dapat berbuat apa-apa,” katanya. Sementara itu Chua berkata, dia meminta dua pelajar terbabit membuat laporan polis sebelum membawa mereka ke pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri.

“Saya juga menasihati mereka supaya membuat tuntutan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM),” katanya.
 -------------------------------------------------------------------------------

2 comments:

  1. How do you get away from payment? cause i remember i signed the contract but have not made payment

    ReplyDelete
  2. Masalahnya sekarang cikgu-cikgu sekolah pun dah mula nak jual score-A.My half sister just finish UPSR last year. My step-mom is also a teacher so she knew a lot of people. Satu hari , cikgu adik saya, 'Cikgu S' persuade step mom saya untuk masuk score-A. Setiap hari datang rumah untuk pujuk step mom saya. Bila kat sekolah, adik saya hari-hari kena tahan sebab nak tanya mak dia dah setuju belum nak masuk score-A. Adik saya sampai stress takut nak pergi sekolah. Kami semua tutup pintu rumah setiap kali nampak cikgu ni datang. Step mom saya mengajar di sekolah lain.Masalahnya, bila diadukan kepada Guru Besar, rupanya dia pun ahli jugak. Sudah...akhirnya step mom saya mengadu kat Pejabat Pegawai Daerah, cikgu ni tadi dapat warning letter. Tak boleh jual score-A kepada ibu bapa murid2 di sekolah tersebut. Adik saya pulak elok je dapat 5A. tak payah pun pakai score-A. Irony nya, anak cikgu tu pulak dapat 4A je.

    ReplyDelete