MELAKA:
Niat dua pelajar sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di
negeri ini untuk mencari pendapatan lebih dengan melaburkan simpanan
mereka menerusi skim tuisyen dalam talian lebur apabila mendakwa tertipu
dengan tawaran terbabit.
Loh
Yee Huan dan Haw Chin Whay masing-masing berusia 20 tahun mendakwa
kerugian RM2,488 setiap seorang apabila dijanjikan menjual kad prabayar
yang mengandungi kata laluan dan nama pengguna (ID) bagi menggunakan
portal tuisyen terbabit.
Sebaliknya,
beberapa hari selepas itu, mereka mendakwa perlu mencari orang bawahan
(downline) bagi melabur untuk skim terbabit dan bukan menjual produk
itu.
Menurut
Loh, mereka dipelawa bekas rakan sekolah menyertai seminar mengenai
peluang perniagaan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer
Keroh, di sini, pada penghujung April lalu.
Katanya,
dalam seminar itu penceramah memberi penerangan bagaimana menambah
pendapatan dengan menjual perkhidmatan tuisyen dalam talian bagi
kegunaan pelajar sekolah menengah.
“Keesokan
harinya kami dibawa bertemu seorang pengurus kumpulan skim terbabit dan
dia menawarkan dua pilihan sama ada mencari pelabur bagi membentuk
‘downline’ atau menjual produk.
“Disebabkan
masih belajar, mustahil kami mampu mencari pelabur lalu kami bersetuju
menyertai dengan memilih menjual produk dan membayar RM2,488 sebelum
diberikan lima kit mengandungi kata laluan dan ID untuk dijual kepada
pengguna,” katanya yang ditemui selepas mendapatkan khidmat nasihat
daripada Penasihat Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Chua Kim
Tee, di sini, semalam.
Loh
yang juga pelajar jurusan diploma sistem informasi perniagaan berkata,
kit itu boleh dijual dengan harga RM790 sekeping kepada sesiapa saja.
Bagaimanapun,
dakwanya beberapa hari selepas itu dia dipanggil menyertai satu
mesyuarat dan dalam pertemuan itu pengurus kumpulannya memberitahu
mereka perlu menyenaraikan nama rakan untuk diajak melabur bagi skim
terbabit.
“Kami hairan mengapa kami dikehendaki mencari pelabur sedangkan pada awalnya kami perlu menjual produk mereka.
“Kerana tidak bersetuju dan tidak mahu rakan lain tertipu, saya dan Haw enggan meneruskan jualan produk itu,” katanya.
Dakwanya,
mereka diberi tempoh bertenang 10 hari oleh syarikat terbabit dan jika
tidak berminat, semua yuran yang dibayar akan dipulangkan.
“Tetapi,
apabila kami menghubungi pengurus kumpulan terbabit dia memberi alasan
sibuk dengan mesyuarat sehingga melepasi 10 hari.
“Apabila
ditanya kepada orang bawahannya mereka memberitahu tempoh bertenang
sudah tamat dan mereka tidak dapat berbuat apa-apa,” katanya. Sementara
itu Chua berkata, dia meminta dua pelajar terbabit membuat laporan polis
sebelum membawa mereka ke pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri.
“Saya juga menasihati mereka supaya membuat tuntutan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM),” katanya.
-------------------------------------------------------------------------------